Sunday, October 5, 2008

Selamat Diijabkabulkan

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada sepupu saya yang baru bernkah kelmarin. Mereka selamat diijabkabulkan di UUM Sintok Kedah (Banglow Pegawai No. 9). Di sini saya petik beberapa dalil tentang kelebihan berkahwin  supaya menjadi renungan kirta bersama.

DALIL-DALIL KELEBIHAN BERKAHWIN:

1. DALIL DARI AL-QURAN

Firman Allah Taala:

“Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian (bujang) di antara kamu”. (Surah al-Nuur: 32)

Ayat di atas merupakan satu anjuran yang ditujukan kepada orang-orang yang tidak mempunyai isteri supaya berkahwin.

“Maka janganlah kamu (para wali) menghalangi mereka kahwin lagi dengan bakal suaminya”. (Surah al-Baqarah: 232)

Ayat di atas merupakan larangan dari Allah Taala kepada ibubapa yang enggan atau menghalang perkahwinan anak-anak perempuan mereka.

“Dan orang-orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami)”. (Surah al-Furqaan: 74)

Firman Allah Taala ini menyatakan satu sifat terpuji, iaitu berdoa memohon kepada Allah Taala agar dikurniakan isteri dan zuriat yang menyejukkan mata.

2. DALIL DARI HADIS RASULULLAH S.A.W :

Sabda Rasulullah s.a.w :

Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Nikah adalah sunnahku (jalan agamaku), maka barangsiapa yang cintakan agamaku hendaklah dia menjalankan sunahku itu”. (Riwayat Abu Ya’la dari Ibnu Abbas r.a)

Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Berkahwinlah supaya kamu menjadi ramai, bahawasanya aku bermegah-megah dengan kamu akan segala umat pada hari kiamat hingga dengan anak yang gugur dari perut ibunya”. (Hadis Dha’if riwayat Abu Bakar bin Mardawiyah dari Ibnu Umar)

Rasulullah s.a.w. telah bersadba: “Barangsiapa yang tidak beristeri kerana takutkan kepapaan maka dia bukan dari golongan kami”. (Hadis Dho’if riwayat Abu Mansur al-Dailami dari Abu Said)

Dari Aisyah r.a. dari Rasulullah s.a.w., baginda telah bersabda: “Barangsiapa yang mempunyai keluasan rezeki hendaklah berkahwin”. (Hadis Dha’if riwayat Ibnu Majah)

Barangsiapa di antara kamu yang berkemampuan mengeluarkan belanja perkahwinan, maka hendaklah dia berkahwin kerana perkara ini akan memejamkan mata dari melihat perempuan ajnabi dan akan memelihara kemaluan. Dan barangsiapa yang ketiadaan belanja perkahwinan, maka hendaklah dia berpuasa. Maka bahawasanya puasa itu melemahkan syahwat jimak. (Hadis yang disepakati oleh ali Hadis)

Lima hadis Rasulullah s.a.w. di atas menunjukkan beberapa fadhilat dan kelebihan yang mendorong dan menggalakkan supaya berkahwin. Ia juga menunjukkan akan kekhuatiran terhadap berlakunya zina mata dan zina faraj (kemaluan). Perkahwinan merupakan satu-satunya jalan keluar dari kekhuatiran tersebut .

3.DALIL DARI PERKATAAN PARA SAHABAT DAN ULAMAK

Saidina Umar al-Khatab r.a pernah berkata:

“Tiada yang menghalang perkhawinan itu kecuali oleh orang yang lemah dan yang membuat maksiat.”

Perkataan ini menjelaskan bahawa agama tidak menghalang perkahwinan dan sebaliknya merupakan satu kecelaan terhadap orang-orang yang menghalangnya.

Saidina Abbas r.a. berkata:

“Tidak sempurna ibadat seseorang yang mengerjakan ibadat sehingga dia berkahwin.”

Ini bermaksud, tidak sempurna ibadat seseorang itu kecuali setelah hatinya dikosongkan dari segala gangguan-gangguan was-was nafsu syahwat perkahwinan. Lalu kekosongan tersebut diisi dengan Allah s.w.t. Perkara ini akan hanya akan diperolehi dengan jalan perkahwinan sahaja.

Abdullah bin Masud pernah mengucapkan:

“Seandainya umurku hanya tinggal 10 hari sahaja untuk aku hidup, nescaya yang kusukai ialah berkahwin supaya aku tidak menemui Allah s.w.t. (mati) dalam keadaan aku bujang.

Sewaktu wabak taun melanda negeri Mesir, dua orang isteri saidina Mua’z telah meninggal dunia akibat penyakit tersebut. Dan ketika beliau sendiri diserang taun, katanya:

“Kahwinkanlah aku. Aku tidak suka menemui Allah s.w.t. dalam keadaan aku bujang. “

Saidina Ali r.a. telah berkahwin selepas tujuh malam kematian Saiyidah Fatimah r.a.

Saidina Umar al-Khatab r.a. adalah antara sahabat yang banyak berkahwin. Katanya:

“Aku tidak berkahwin kecuali untuk menghasilkan anak.”

Sufian bin Uyainah berkata:

“Memperbanyakkan isteri bukanlah dari perkara dunia yang sia-sia kerana saidina Ali r.a. merupakan seorang sahabat yang paling zuhud mempunyai 4 orang isteri dan 17 orang jariah. Perkahwinan merupakan jalan para anbiyak dan akhlak mereka. “

Imam Ahmad bin Hanbal r.a. telah berkahwin pada hari kedua kematian isterinya. Katanya:

“Aku tidak suka bermalam dalam keadaan aku bujang.”

TUJUAN PERKAHWINAN MENURUT PANDANGAN IMAM AL-GHAZALI

Imam al-Ghazali pula ada menyebutkan di dalam kitabnya al-Ihya’ Ulumuddin, terdapat 5 tujuan iaitu :

1) Dapat menghasilkan keturunan supaya dunia ini tidak kepupusan makhluk dari bangsa manusia. Dan seterusnya anak tersebut dapat berdoa untuk kedua ibubapanya setelah kematian mereka.

2) Menghilangkan tekanan syahwat seks terhadap wanita yang sentiasa datang mengganggu di dalam ibadatnya. Tekanan ini juga akan membawa kepada zina mata atau zina faraj. Dengan perkahwinan seseorang itu dapat memelihara diri dari syaitan yang akan membawa ke arah perkara-perkara yang haram.

3) Membereskan gangguan hati dalam masalah urusan rumahtangga seperti memasak, mengemas, membasuh dan lain-lain. Dengan ini, masanya tidak banyak terbuang hanya untuk urusan tersebut sahaja.

4) Dengan pergaulan dan percampuran suami isteri dapat menggembirakan serta menjinakkan hati dan perasaan. Di mana perkara ini akan mendorong dan menguatkan hatinya untuk rajin melakukan ibadat.

5) Dapat bermujahadah melawan hawa nafsu di dalam kehidupan berumahtangga, antaranya ialah:

i. Dengan menunaikan hak-hak yang diwajibkan terhadap isteri.
ii. Bersabar terhadap tingkah laku isteri yang tidak secocok dengannya.
iii. Berusaha untuk memperelok akhlak anak dan isterinya serta memberi tunjuk ajar kepada mereka ke jalan agama.
iv. Berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan rezeki yang halal untuk menyara anak dan isteri.
v. Mendidik anak-anak supaya menjadi insan yang berguna.

TUJUAN DAN GALAKAN BERKAHWIN

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Rum ayat 21:

Di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia (Allah) menciptakan pasangan-pasangan (jodoh) bagi kamu dari (makhluk) jenis kamu sendiri, agar kamu cenderung kepadanya dan merasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan rasa kasih sayang di antara kamu. Sesungguhnya dalam hal itu terdapat tanda-tanda kekuasaanNya bagi orang-orang yang berfikir.

Di dalam firman Allah s.w.t. di atas jelas dan nyata sekali akan tujuan sebuah perkahwinan iaitu:

Membina kehidupan rumahtangga yang bahagia, aman dan damai.

Untuk mencapai kesatuan jiwa. Mereka sanggup bersama sehidup semati dalam meredah liku-liku dan pancaroba hidup. Manakala setiap kesenangan dan kebahagiaan yang diperolehi akan sama-sama dikecapi.

Hidup saling cinta menyintai, berkasih sayang dan percaya mempercayai.

Tiga pengajaran utama dari ayat di atas yang digariskan oleh Syeikh Muhamad Ali Qutb melalui bukunya, Tuhfatul Aris wal Arus ialah :

Pengajaran pertama:

Ketenteraman jiwa dari belenggu kemahuan nafsu dalam kehidupan suami isteri merupakan perkara yang asasi. Ketenteraman yang dimaksudkan di dalam ayat di atas terlalu luas pengertiannya, bukan hanya sekadar ketenteraman nafsu syahwat sahaja. Bahkan merupakan suatu kelegaan dan keselesaan dari keresahan, kegelisahan, kesunyian dan kekosongan. Atau dengan makna yang lebih tepat ialah ketenteraman rohani dan ketenangan batin.

Antara bukti yang nyata sekali ialah zuriat yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. terhadap pasangan suami isteri. Ianya banyak mengisi kekosongan ruang yang sedia ada dalam jiwa pasangan ini. Malahan setiap manusia akan merasa kesunyian dan keresahan tanpa zuriat. Dengan mengendalikan perkara pertama ini dengan berpayungkan al-Quran dan al-Sunah, kebahagiaan dan keharmonian rumahtangga akan sentiasa berada di samping mereka. Sebaliknya, melakukan zina samada dengan perempuan simpanan atau pelacur tidak ke mana arah tujunya. Hanya sekadar mahu mendapat sedikit dari kelazatan hidup.

Pengajaran kedua:

Rasa cinta yang berbalas. Iaitu yang lahir dari perlakuan antara satu sama lain, dan lahir pula dalam kerjasama serta saling bantu membantu antara suami isteri dan antara keluarganya masing-masing. Dengan semangat kerjasama antara suami dan isteri, begitu juga antara ibubapa dan anak-anak, di mana kesusahan mereka pikul bersama untuk menanggungnya, manakala mendapat kebahagiaan mereka sama-sama mengecapinya, maka darinya akan lahirlah apa yang dinamakan dengan cinta berbalas.

Pengajaran ketiga:

Rasa kasih sayang, di mana kehidupan manusia akan dirasakan terlalu pincang tanpa perasaan ini. Kasih sayang sebagai ibu, ayah, suami, isteri dan anak.

MASALAH PEREMPUAN LAMBAT KAHWIN

Masalah kahwin lambat kahwin yang berlaku di kalangan masyarakat Malaysia semakin hari semakin meningkat. Ini adalah disebabkan oleh perkembangan dan perubahan sosiobudaya yang begitu pesat sekali. Perubahan ini adalah disebabkan oleh kepesatan pembangunan, khususnya dalam bidang sosioekonomi dan pendidikan. Taraf pendidikan dan penceburan wanita dalam sektor pekerjaan dan profesional terus meningkat. Ini menyebabkan perkahwinan pada usia muda telah berkurangan. Sebagai bukti, pada tahun 1956 wanita yang berkahwin pada usia 15 - 19 tahun lebih kurang 97 peratus, dan ianya menurun 6 peratus sahaja pada tahun 1988. Peratus ini berkemungkinan akan terus menurun pada dekad ini kerana negara semakin maju dan kehidupan semakin canggih .

Jika sebelum merdeka, purata perkahwinan ialah pada sekitar usia 17 tahun, tetapi di luar bandar sekitar 15 - 16 tahun. Sekarang purata perkahwinan adalah pada umur 20 tahun. Dari itu, pada keseluruhannya penduduk Malaysia masih berkahwin pada usia muda. Contohnya, pada tahun 1988, umur perkahwinan pertama bagi wanita Melayu 19 tahun, Cina 22 tahun dan India 20 tahun.

Dahulu seorang gadis yang berusia 20 tahun dianggap anak dara tua jika belum berkahwin, tetapi sekarang ini sudah tidak begitu lagi, kerana pada usia tersebut masih ramai yang sedang belajar di institusi pengajian tinggi, dan akan berlanjutan sehingga usia 24 atau 25 tahun. Itupun kalau tidak meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Mereka akan bekerja dengan sektor awam atau swasta atau istirahat sementara mendapatkan pekerjaan. Mungkan pada usia 30 tahun ke atas bolehlah dikatakan lewat terutama bagi wanita kerana ada faktor lain yang perlu diambil kira, yang berkait rapat dengan usia, seperti jangka hayat kesuburan yang berkait rapat pula dengan masalah kesihatan ketika hamil dan melahirkan anak dan sebagainya.

Faktor yang menyebabkan wanita lambat berkahwin ialah :

1.Perubahan nilai sosial.
2. Alasan ekonomi memaksa perubahan umur berkahwin.
3. Akibat perubahan struktur penduduk, keadaan dan keperluan wanita, seperti melanjutkan pelajaran dan bekerja membantu keluarga.
4. Sukar mendapat pasangan yang sesuai dan idaman hati.
5. Masalah peribadi.

Antara kesan negatif ialah:

1. Wanita yang berkahwin lambat akan melambatkan kelahiran anak pertama, tempoh subur dan selamat untuk mengandung dan melahirkan anak lebih pendek (15 - 49) tahun. Wanita yang lewat melahirkan anak pertama menghadapi komplikasi yang lebih tinggi semasa mengandung dan bersalin.
2. Majoriti masyarakat memandang serong dan kurang menyenangkan.
3. Membuang masa dan kurang produktiviti (zuriat dan ibadat)
4. Bercanggah dengan tuntutan agama yang menggalakkan kahwin lebih awal bagi menghindarkan maksiat.

Kebaikan dari berkahwin lambat ialah :

1. Minda lebih matang.
2. Ekonomi stabil.
3. Pengetahuan dan kemahiran lebih sempurna.
4. Lebih bersedia dan berkeyakinan.


No comments: